Guru berkesan adalah seorang guru yang mempunyai sikap yang profesional dalam apa jua perkara, bertindak di atas landasan etika dan tatasusila kerja,mempunyai moral yang teguh dan kukuh,mempamerkan ciri-ciri kekuatan teori dan sentiasa berusaha meningkatkan kualiti hasil pengajaran dan pembelajaran. Seorang guru berkesan berkebolehan menilai kekuatan dan kelemahan murid-murid,sentiasa prihatin dengan kehendak murid dan ibu bapa dan sentiasa melengkapkan diri dengan kemahiran yang sejajar dengan tuntutan semasa.Selain itu,guru berkesan sentiasa menampilkan watak yang terpuji,berimej,berperibadi mulia,berwawasan sebagai pendidik unggul pada setiap masa dan turut berupaya membentuk perwatakan murid dengan pelbagai keteguhan nilai diri seperti bermoral, berakhlak mulia, berketrampilan, pandai menyesuaikan diri dengan situasi tertentu disamping berupaya membina minda pelajar yang cemerlang akademik.
Sekolah berkesan pula adalah sekolah yang menitikberatkan kecemerlangan dalam pencapaian akademik, penguasaan kemahiran asas, keberkesanan pengajaran guru, iklim sekolah yang dapat membangkitkan suasana belajar, mengurangkan masalah displin pelajar serta kepimpinan yang mampan.Antara ciri-ciri sekolah berkesan ialah mempunyai persekitaran sekolah yang selamat di mana murid-muridnya bebas dari sebarang gangguan atau bahaya persekitaran. Sekolah berkesan juga mempunyai misi dan matlamat sekolah yang jelas melibatkan semua kakitangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing. Sekolah berkesan mengutamakan disiplin sekolah yang tegas tetapi adil selain menjalinkan hubungan positif antara sekolah dengan ibu bapa yang saling bekerjasama untuk kejayaan murid-murid dan yang paling penting adalah guru perlu menunjukkan gaya kepimpinan dalam pengajaran.
Murid berkesan adalah murid yang berilmu,mempunyai pencapaian akademik yang tinggi serta memberikan tumpuan penuh kepada pengajaran guru iaitu memberi kerjasama dan tumpuan kepada proses P&P.Murid berkesan juga dapat dihuraikan sebagai murid yang bersemangat dan aktif dalam pelajaran mahupun kokurikulum,murid yang rajin dan bermotivasi dalam menyediakan diri menghadapi peperiksaan untuk mendapat keputusan yang cemerlang dan juga murid yang membuat persediaan awal dan yakin pada diri sendiri. Murid berkesan mampu membuat jadual waktu sendiri dan selalu mengulangkaji pelajaran.Selain itu murid berkesan mempunyai disiplin diri yang tinggi,mempunyai nilai murni dan akhlak yang mulia dalam diri dan juga mampu membina hubungan interpersonal positif iaitu dapat bersosial dan berinteraksi dengan guru-guru dan rakan-rakan secara lebih berkesan.
Kesimpulannya, guru berkesan,sekolah berkesan dan murid berkesan saling berinteraksi antara satu sama lain dalam satu proses yang berterusan yang berpaksikan pengetua, guru, pelajar, fizikal dan prasarana sekolah.Kejayaan sekolah berkesan adalah bermula dari bilik darjah yang diurus dengan berkesan oleh guru-guru berkesan dengan menggunakan alatan bantuan mengajar yang berkesan dan mencukupi dan hubungan murid dan guru yang cukup mantap.